Melalui perancangan asal penubuhan Sekolah
Pertukangan Perantis Angkatan Tentera (SPPAT), ia telah ditubuhkan dengan
matlamat untuk memberi peluang kepada pemuda Malaysia yang berumur dari 14½
hingga 16 tahun dengan kelulusan LCE untuk menjalani kursus dalam bidang
akademik, teknikal dan ketenteraan selama 3 tahun. Mereka juga akan menduduki
peperiksaan Senior Cambridge atau GCE pada penghujung latihan mereka di sekolah
ini. Mereka yang menamatkan latihan adalah juga layak untuk berkhidmat dalam
Angkatan Tentera Malaysia sama ada di dalam perkhidmatan TenteraDarat
terutamanya di dalam Kor JLJ, Tentera Laut atau Tentera Udara. Mereka juga akan
diberi keutamaan bagi pemilihan Pegawai Kerja Woksyop di dalam Kor JLJ.

Hasil dari perbincangan demi perbincangan yang
telah dibuat di peringkat atasan, akhirnya sekolah ini telah ditubuhkan pada 1
Apr 1968 sebagai salah satu cawangan latihan di Sekolah JLJ dan kemudian
dirasmikan penubuhannya oleh Jen Tan Sri Abdul Hamid bin Bidin, Ketua Turus Tentera
Darat pada 9 Nov 1968. Namun begitu melalui Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera
Ke-108 yang bersidang pada 5 Dis 1968 memutuskan bahawa sekolah ini adalah
sebuah sekolah teknik tentera, dengan kelayakan masuk adalah Sijil Rendah
Pelajaran (Penghantar Bahasa Melayu) dengan kepujian dalam Bahasa Melayu,
Inggeris, Ilmu Hisab dan satu matapelajaran sains. Majlis ini turut menetapkan
tujuan penubuhan sekolah ini adalah untuk memberi latihan tentera, teknik dan
akademik selama tiga tahun bagi menyesuaikan para perantis sebagai
anggota-anggota petukang di dalam Angkatan Tentera. Walaupun sekolah ini berada
di bawah pentadbiran Sekolah JLJ, ia dikelola oleh Lembaga Tentera Bersama yang
bertanggungjawab terus kepada Jawatankuasa Kerja Majlis Angkatan Tentera. Majlis
Angkatan Tentera turut menetapkan bahawa para perantis adalah dibenarkan untuk
berhenti dengan membayar balik sebahagian daripada belanja latihan mereka di
sekolah ini.
Semasa penubuhannya, bilik darjah dan blok
pentadbiran sekolah ini telah ditempatkan di Kem Sirusa, Port Dickson manakala
blok penginapan pula terletak di komplek Kuatermaster PUSASDA sekarang
(berhampiran Wisma Bintara Kor JLJ). Pada 10 Okt 1969, Timbalan Perdana
Menteri, Tun Abdul Razak bin Hussein merangkap Menteri Pertahanan yang juga selaku
Pengarah Gerakan Negara pada ketika itu telah membuat lawatan rasmi ke
SPPAT. Pada ketika itu, seramai 60 perantis pengambilan pertama sedang
menjalani latihan bermula dari 1 Apr 1968 dan telah menamatkan latihan mereka
pada 3 Apr 1971.
Bermula dari pengambilan pertama sehingga
pengambilan ke-10, perantis telah menjalani latihan selama tiga tahun dan
menduduki peperiksaan MCE/SPM masing-masing. Namun, berikutan dengan proses
pembesaran Angkatan Tentera Malaysia, bermula dari pengambilan ke-11 pada bulan
Apr 1978 hingga ke pengambilan ke-14 pada Mac 1981, tempoh latihan perantis
telah dipendekkan kepada dua tahun dan tidak disediakan untuk menduduki
peperiksaan SPM kecuali mengambil SPM atas usaha sendiri (sebagai calon
persendirian) jika berminat. Mereka ini dikenali sebagai Perantis Kategori A.
Dalam masa itu juga terdapat skim perantis yang dikenali sebagai Perantis
Kategori B (mulai dari tahun 1981) menjalani latihan selama satu tahun sahaja.

Namun begitu, pengambilan Perantis Kategori B
ini hanya dibuat dua kali iaitu sehingga tahun 1982. Selepas itu, latihan
perantis diubah lagi di mana bermula dari pengambilan ke 15, para perantis
telah dibenarkan menduduki peperiksaan SPM sepertimana biasa. Sekolah ini terus
berada di Kem Sirusa sehingga tahun 1982 (sewaktu perantis pengambilan 14 dan
15 sedang menjalani latihan) di mana ia telah berpindah ke Kem Segenting, Batu
10, Port Dickson untuk menampung jumlah perantis yang semakin meningkat. Namun
begitu semua aspek pentadbiran dan pemerintahan kekal di bawah Sekolah JLJ.
Para perantis yang dihasilkan dari sekolah ini
telah dihantar berkhidmat ke dalam ketiga-tiga perkhidmatan sepertimana biasa
sehinggalah Mesyuarat Lembaga Tentera Bersama yang diadakan pada 4 Apr 1987
telah memutuskan Tentera Laut dan Tentera Udara tidak lagi mengambil lepasan
SPPAT kerana kedua-dua perkhidmatan ini telah menubuhkan institut teknikal
mereka sendiri. Pada 12 Ogos 1988, melalui mesyuarat Jawantankuasa
Panglima-Panglima ke 250 telah meluluskan pertukaran nama SPPAT kepada Sekolah
Pertukangan Perantis Tentera Darat (SPPTD). Pada bulan Ogos 1992, SPPTD telah
dipindahkan kembali ke Kem Sirusa. SPPTD selepas itu hanya melatih
perantis-perantis untuk diserapkan ke dalam Kor JLJ Diraja. Mulai dari
pengambilan ke-25, para perantis telah menjalani latihan akademik dengan 2
kaedah iaitu sebahagian dari mereka menduduki peperiksaan SPM dan sebahagian
lagi menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia Vokasional (SPMV). Pada
tahun 1994, para perantis menduduki peperiksaan SPMV sepenuhnya melibatkan tiga
bidang iaitu Automotif, Kimpalan Fabrikasi Logam dan Amalan Bengkel Mesin yang
juga melayakkan mereka menerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).
Pada masa kini, latihan penuntut-penuntut SPPTD
dilaksanakan mengikut fasa iaitu fasa pertama selama 20 bulan dalam
bidang akademik untuk menduduki peperiksaan SPMV. Fasa kedua pula selama empat
bulan di mana mereka dilatih dalam bidang ketenteraan asas merangkumi silibus
perajurit muda. Mereka yang menamatkan latihan di SPPTD akan memiliki kelulusan
SPMV dan juga SKM yang juga setaraf dengan tred-tred di dalam Kor JLJ Diraja
serta menjadi anggota tentera yang terlatih.Walaupun mereka mempunyai kelayakan
di dalam bidang vokasional, kerjaya mereka bukan hanya tertumpu untuk menjadi
sebagai seorang Juruteknik sahaja malah ramai di kalangan mereka telah berjaya
mengikuti latihan pegawai kadet di Maktab Tentera Diraja (MTD), Kolej Tentera
Darat (KTD) serta Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan telah
berjaya ditauliahkan sebagai pegawai di dalam TD berdasarkan kepada daya usaha
serta bakat kepimpinan yang mereka tunjukkan.
PENCAPAIAN DAN
KECEMERLANGAN
Sepanjang penubuhan SPPTD
telah berjaya melakar beberapa kejayaan samada dalam bidang sukan, akademik,
kegiatan ko-kurikulum dan sebagainya. Di antara pencapaian dan
kecemerlangan yang telah dicapai adalah di dalam bidang sukan SPPTD telah
melahirkan ramai atlit yang berjaya mewakili TD, ATM dan Kebangsaan. Di antara
sukan yang pernah dimonopoli oleh bekas-bekas perantis ialah Ragbi, Olahraga,
Sepak Takraw, Bola Baling dan Bola Sepak. Nama SPPTD begitu sinonim dan telah
dikenali bukan sahaja di peringkat MSSPD malahan di peringkat MSSNS. Dalam
bidang akademik, pelajar-pelajar SPPTD telah berjaya membuktikan kejayaan
mencapai kelulusan 100% di dalam peperiksaan SPM setiap tahun. Pelajar-pelajar
SPPTD juga begitu aktif mengikuti kegiatan ko-kurikulum yang dianjurkan samada
peringkat daerah mahupun negeri. SPPTD juga telah berjaya melahirkan
petukang-petukang yang berjaya menyertai pertandingan Tangan Emas yang pernah
mewakili Malaysia ke World’s Skills yang bertaraf dunia. Di samping itu,
para perantis juga berpeluang untuk mengikuti kursus Kejuruteraan Avionik dan
Aeromekanikal di Pasukan Udara TD (PUTD) dan seterusnya berkhidmat sebagai
juruteknik di sana.
SPPTD turut terlibat dalam
projek Sekolah Bestari di bawah tajaan Kementerian Pertahanan. Pada 4 Jul 2001,
YAB Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Hj Abdul Razak, Menteri Pertahanan telah merasmikan
SPPTD dan MTD sebagai Sekolah Bestari di bawah Kementerian Pertahanan yang mana
ia merupakan pelengkap kepada aplikasi perdana Sekolah Bestari di bawah
Kementerian Pelajaran Malaysia. Konsep yang dilaksanakan adalah mirip kepada
Sekolah Bestari Perdana dan lebih menekankan kepada subjek teknikal serta sains
dan teknologi. Projek ini dilaksanakan dengan kerjasama British Aerospace
Engineering (BAE) dari United Kingdom. Pelaksanaan Projek Sekolah Bestari di
SPPTD bermula pada 6 Apr 2004 dengan jumlah kos RM 1,008,008.09. Peruntukan ini
adalah bagi membaiki serta mengubahsuai dan menaiktaraf bangunan sedia ada
(Markas SPPTD) serta membina dan menyiapkan satu tingkat bangunan Makmal
CAD/CAM di SPPTD. Dengan penglibatan sebagai Sekolah Bestari, SPPTD telah
mempunyai aset pendidikan teknologi dan ICT. SPPTD kini mengorak langkah
untuk bersaing dalam temasya F1 in Schools dan mensasarkan untuk muncul
johan peringkat tertinggi.
PENCAPAIAN BEKAS
PENUNTUT SPPAT/SPPTD
SPPAT/SPPTD telah terbukti
sebagai wadah yang telah berjaya menghasilkan bekas-bekas perantis yang berjaya
berjaya dalam bidang yang diceburi masing-masing. Baik dalam kerjaya ATM
mahupun bidang awam, bekas-bekas penuntut SPPAT/SPPTD telah mengukir
kecemerlangan mereka tersendiri. Dalam perkhidmatan, tiga bekas perantis telah
dinaikkan ke pangkat Jeneral iaitu Mej Jen Dato’ Abdul Aziz bin Ibrahim
yang kini menjawat jawatan Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota, Brig Jen
Abu Musa bin Hj A. Rahman yang kini menjawat jawatan Panglima 7 Briged dan Brig
Jen Dato’ Mior Safian bin Sidin menjawat jawatan Pengarah di Bahagian
Geospatial Pertahanan, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM). Dalam sektor
awam pula, tokoh-tokoh korporat yang telah berjaya adalah Dato’ Kamaludin bin Janis,
Dato’ Kamaluddin bin Saidon, En. Riduan bin Saari, En. Saroni bin Shukor serta
ramai lagi. Bekas-bekas perantis telah menubuhkan Persatuan Bekas Penuntut
SPPAT/SPPTD yang dikenali sebagai Association of Former Apprentices (AFATS)
pada tahun 2004 dengan tujuan untuk menghubungkan semula bekas-bekas
perantis dan mengekalkan silaturrahim yang sedia terjalin di antara
perantis-perantis semasa menuntut di SPPAT/SPPTD.
No comments:
Post a Comment